Re-post: TMBT 50KM Ultra Trail 2016

Colour Coil TMBT 2016

The Most Brutal Beautiful Thing (TMBT)

Borneo Ultra Trail Sdn. Bhd28/10/2016, jam 10 malam  — Kurang 10 jam sebelum acara TMBT, aku dan brother Musli memulakan perjalanan dari rumah menuju ke Kampung Lingkubang, Kota Belud yang menjadi lokasi starting line untuk TMBT 2016.

Setelah hampir dua jam setengah perjalanan menaiki land cruiser BG60 milik brother Musli melalui jalan Tamparuli, akhirnya kami tiba di Kampung Lingkubang sekitar jam 12.30 pagi. Setelah tiba di sana, kami segera mencari dan mengenal pasti lokasi starting line untuk acara esok. Selepas menjumpai lokasi starting line, aku dan adikku kembali ke kereta untuk berehat melelapkan mata. Jam pada waktu itu menunjukkan hampir pukul 1.00  pagi, bermakna aku ada kurang daripada 5 jam untuk tidur sebelum acara bermula jam 7 pagi pada keesokan harinya.

29/10/2016 — Seawal sekitar jam 5.30 pagi, bas yang membawa runner-runner yang menginap di hotel sudah membanjiri lokasi. Selain peserta tempatan; Sabah, Sarawak dan Semenanjung, terdapat beberapa peserta dari luar negara seperti Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Australia, US, UK dan beberapa lagi negara luar yang lain. Boleh semak maklumat peserta di website Racematix di sini.

Musli sibuk membantu memeriksa semula mandatory kit yang perlu di bawa, sementara itu, aku mula mengambil sarapan ringan sebagai alas perut, memandangkan tiada drop bag disediakan bagi peserta kategori 50km, aku pastikan semua kelengkapan mencukupi untuk sampai ke finishing line.

img_5241
Ready for exploring the beautiful brutal trail

Antara barang keperluan yang ada dalam beg aku masa tu; rokok Era & mancis, Nuun, 2nd Surge energy gel, coklat Snickers, pain killer, handyplast, baju hujan, air 1 liter, handphone, emergency blanket, headlamp, earphone, reflective vest, blinking light.

Sebelum aku meneruskan cerita, berikut ada sedikit maklumat berkenaan course bagi kategori 50km yang aku join.

Secara keseluruhan, jarak untuk kategori 50km ialah 48km (less 2 kilometer hadiah dari penganjur, less lah sangat!!) seperti yang dinyatakan dalam peta yang diberikan oleh penganjur. Terdapat 4 water station disediakan, jarak setiap water station lebih kurang 7.5km – 12.3km. Perlumbaan bermula di Kampung Lingkubang, Kota Belud dan berakhir di Pekan Nabalu, Kundasang.

PowerPoint Presentation
Peta laluan dan elevation chart
Selfie dengan Musli sebelum acara bermula
Selfie dengan Musli sebelum acara bermula. Musli berperanan sebagai aku punya support crew, dia lah driver yang bawa aku ke event ini

Jam 6.20 pagi, peserta kategori 50KM dan 100KM dilepaskan serentak. Aku memulakan larian dengan pace yang selesa sehingga ke water station (WS) yang pertama di Kampung Kebayau. Sebahagian kecil route daripada starting line menuju WS3 di Kampung Tambatuon agak familiar, kerana route yang sama digunakan bagi event Kadamaian Nature Challenge 55KM pada Mac 2016 yang lalu.

img_0383
Menyeberangi sungai melalui jambatan gantung – foto, Harry Lai

Pemandangan sepanjang course ini memang sangat-sangat cantik dan mengujakan, namun sayangnya aku tidak berkesempatan tiada mood untuk mengambil gambar kerana keadaan cuaca yang hujan pada waktu itu.

img_5268
Checkpoint 2, Kampung Tambatuon

Aku tiba di WS3 Kampung Tambatuon, kilometer ke 20 dengan masa 2:21:29. Agak lama juga aku berhenti di sini. Aku mengambil masa sedikit untuk merawat blister di bahagian jari kelingking kaki kiri dan kanan. Blister, kalau tidak dirawat dengan baik, boleh menyebabkan rasa tidak selesa, yang boleh mengakibatkan kita tidak dapat meneruskan larian. Aku mengambil sebiji pain killer untuk meredahkan rasa tidak selesa blister di kaki.

Selesai merawat blister dan mengisi air, aku teruskan perjalanan ke WS yang seterusnya. Waktu ini, aku lebih banyak berjalan kaki dari berlari, aku cuma berlari di kawasan yang agak rata dan kawasan downhill sahaja. Perjalanan dari WS2 ke WS3 ini agak santai sedikit kerana kawasan pendakian tidaklah begitu tinggi, walaupun begitu, aku terpaksa menghabiskan masa 2 jam 8 minit untuk sampai ke WS3, Kampung Lobong-Lobong.

Aku sampai di WS3, Kampung Lobong-Lobong pada jam 11.20 pagi, jarak perjalanan baru mencecah 29.5KM (berdasarkan rekod dari Racematix), bermakna aku perlu menghabiskan baki lebih kurang 18 kilometer lagi. Di sini aku berhenti refill air, minum teh panas, dan makan pisang yang disediakan oleh penganjur. Waktu penat begini, ditambah dengan keadaan perut yang lapar, minuman panas dengan pisang memang sangat menyelerakan sekali. Sumpah!! Teh tawar di Lobong-Lobong ini adalah teh paling sedap dan enak pernah aku rasai selama ini, (tolong jangan percaya kata-kataku ini, sebab ini adalah perkataan orang yang sedang lapar dan penat setelah berlari, berjalan, merangkak sejauh 29.5 kilometer). Kalau kamu ingin merasa kenikmatan teh panas, silakan register TMBT 2017.

img_5294
Beredar dari WS4 – foto, Harry Lai

Sesudah selesai, minum, makan dan buang air kecil, aku pun beredar dengan perasaan yang gembira kerana jarak untuk ke WS4 sekitar 7.5 kilometer sahaja. Pada masa ini, aku memasang target untuk sampai ke WS4 kurang dari 1 jam setengah.

Tapi, targetku jauh meleset disebabkan pendakian bukit yang seakan tiada berhenti. Entah berapa banyak kali aku berhenti berehat di tepi jalan single track ini.

Syukurlah, walaupun letih mendaki bukit, namun semua penat lelah itu dibayar dengan pemandangan alam yang sangat cantik sekali. Berlatar belakangkan Gunung Kinabalu yang gagah diselubungi awan, dengan hujan renyai-renyai membasahi bumi membuatkan keadaan di sini sangat dramatik.

img_5304
Akhirnya sampai ke puncak bukit di kilometer ke 35, tiada lagi mendaki, hanya downhill sehingga ke WS4, hooorayyyy !!! – foto The Revolution Studio

Jam 1.23 petang, setelah 2 jam 3 minit menempuh pendakian yang hampir tiada hentinya, akhirnya aku sampai ke WS4 Kampung Kiau Nulu, dan masa untuk rehat sebentar menikmati maggie hotcup yang paling sedap dan menyamankan perut, tak percaya? silakan join TMBT 2017 untuk kategori 50k/100k 🙂

img_5250
Yay!! ada maggie hot cup
img_5253
Rehat sekejap layan maggie hot cup

Perjalanan hanya berbaki sekitar 11 kilometer sahaja, aku meninggalkan WS4 dengan penuh keazaman untuk menyelesaikan misi ini di bawah catatan masa 9 jam 30 minit. Catatan masa pada ketika ini sekitar 7 jam 20 minit, aku sangat yakin boleh menghabiskan baki 11 kilometer ini sekurang-kurangnya 2 jam.

Sesekali aku terdengar suara pengacara majlis mengumumkan ketibaan peserta 50k di garisan penamat. Ini menguatkan lagi andaian dan target aku untuk tiba di garisan penamat di bawah catatan masa 9 jam 30 minit. Aku melihat dan elevation chart yang tertera di bib aku, aku semakin menghampiri dua bukit terakhir yang dikatakan sebagai killer oleh otai-otai ultra runner TMBT.

Masa terus berlalu, bukit demi bukit di daki, aku terfikir, di mana keberadaan aku sekarang, kenapa tidak kelihatan finishing line? Sepanjang pendakian aku dapat memintas beberapa runner bagi kategori 50k dan 30k, kerana kami berkongsi finishing line yang sama, bagi kategori 100k, finishing line mereka berada di Hotel Perkasa, Kundasang.

Aku tiba di puncak bukit setelah bersusah payah mendaki. Aku bertanya kepada runner kategori 30k yang berenti rehat di sana.

“Di mana finishing line bro?”

“Jauh lagi bro. Kau ikut jalan ini, turun bawah, kemudian kena mendaki bukit terakhir, lepas tu baru jumpa finishing line”

“Whatttt??? Kena mendaki lagi ka??”

Hohohohohoh, aku dah terkena, aku cuba mengingati perjalanan aku dari WS4, rupanya aku sendiri yang tersilap mengira jumlah bukit yang perlu di daki. Target untuk menyiapkan misi di bawah 9 jam 30 berkubur kerana pada waktu ini, masa sudah hampir 9 jam, dan agak mustahil untuk aku menyelesaikannya dengan berbaki setengah jam lagi.

almost there...
Almost there… beginilah perasaanku pada waktu itu, boleh anda bayangkan?

Pendakian bukit yang terakhir ini adalah pendakian yang paling mencabar aku rasakan, mungkin lebih mencabar daripada mendaki Gunung Kinabalu. Kenapa? Kerana pendakian terakhir ini kami terpaksa melalui route yang sangat-sangat licin, dan kasut Salomon Sense 5 Ultra ku tidak berupaya memberikan cengkaman. Ya aku tahu, kasutku ini tidak sesuai untuk bentuk trail di Sabah, tapi apa boleh buat, itu sahaja kasut yang aku ada buat masa itu. Berbeza dengan pendakian ke Gunung Kinabalu, tidak dinafikan pendakian di Gunung Kinabalu memang mencabar, tapi tidaklah licin sehinggakan perlu berkaki empat (bahasa pasar Sabah, yang membawa maksud merangkak).

Memang sah aku tidak dapat menyiapkan misi ini di bawah 9 jam 30 minit. Aku menukar target untuk menyelesaikan misi di bawah 10 jam pula. Pendakian diteruskan, dengan keadaan yang terpaksa merangkak semasa mendaki, ditambah dengan air minuman yang sudah habis, akhirnya aku terpaksa akur untuk menyiapkan misi dengan catatan masa 10 jam 19 minit 13 saat.

Ada sedikit kekecewaan, tetapi, aku percaya pada kata-kata; “Sentiasa ada hari esok untuk memperbaiki prestasi yang kita capai pada hari ini.”

img_6894
15 meter sebelum ke finishing line – foto Musli / Abu Sofiyya.

Perasaan gembira akhirnya dapat menghilangkan segala penat lelah apabila dapat sampai ke finishing line. Sesi larian ultra trail aku untuk 2016 berakhir sudah. TMBT50K ini adalah ultra trail aku yang ke-tiga bagi kategori 50K, selepas Kadamaian Nature Challenge 55K dan Bring Me To Buayan 50K.

Kepada yang bercadang untuk menyertai acara TMBT tahun 2017 di Sabah, negeri di bawah bayu ini, pastikan anda cukup latihan dan kelengkapan. Aku pasti kamu akan sentiasa mengingati detik-detik manis sewaktu berada di acara ini.

img_5257
Balik rumah, kemas barang
img_5287
3 jari kaki blister
img_5283
Tamat riwayat stokin:(
img_5274
setting accuracy GPS jam ambit3 run ini aku set 5 sec untuk menjimatkan bateri, dan hasilnya jarak yang direkod lebih 3 kilometer daripada jarak sebenar 48km.

Secara keseluruhannya, acara larian denai atau ultra trail running anjuran Borneo Ultra Trail Sdn. Bhd ini sangat berbaloi untuk disertai. Yuran penyertaan sebanyak RM350 dengan fasiliti yang disediakan oleh penganjur memang berpatutan. Selain TMBT, Penganjur ini juga menganjurkan beberapa event seperti Borneo Ultra Trail Marathon (BUTM), Sabah Adventure Challenge (SAC), Super Kerbau dan Beaufort Ultra.

InsyaAllah, jika berkesempatan (tengoklah kalau aku rajin), aku akan tulis #throwback tentang larian gunung, 29th Mount Kinabalu International Climbathon yang diadakan pada 16 Oktober 2016.

Sehingga berjumpa lagi di race report yang akan datang — run, run, run.

2 Comments

  1. […] navigation ← Re-post: TMBT 50KM Ultra Trail 2016 Jangan Masuk Dalam Perangkap Kehidupan Dua Kali !! […]

    Reply
  2. […] Pendakian diteruskan, pergerakan agak perlahan kerana laluan yang sempit, sehinggalah tiba di puncak bukit. Setelah sampai di puncak bukit, satu persatu runner memulakan larian dan mula menjarakkan diri di antara semua lain. Beberapa runner melewati aku, aku mengekalkan steady pace, strategi aku sama seperti mana-mana event trail yang aku join sebelum ini, baca: race report TMBT 50KM Ultra Trail 2016. […]

    Reply

Leave a Reply

Scroll to top
%d bloggers like this: