Hari RABU yang MENGGELISAHKAN

Hari Rabu selalu dikaitkan dengan pengumuman kadar harga minyak di Malaysia. Hal tersebut sudah pasti sedikit sebanyak memberi kesan bukan sahaja kepada emosi individu, bahkan ia juga bakal merungsingkan poket dan dompet-dompet sebahagian besar di kalangan kita selaku pengguna dan rakyat marhaen.

Saya menulis bukan bertujuan untuk memberikan perkongsian “TIPS UNTUK MENANGANI MASALAH KENAIKAN HARGA MINYAK” walaupun sememangnya saya seorang usahawan online. Namun saya suka membawa anda kepada suatu sudut pandang lain yang agak berkaitan dengan topik ini.

Cuba renungkan kata-kata Rich Dad, bapa angkat Robert T. Kiyosaki kepada beliau. “Apabila kamu mahu sesuatu, kamu perlu beri dahulu”. – Walaupun sewaktu kesempitan wang, beliau akan memberikan wang kepada badan-badan amal. (rujuk buku Rich Dad Poor Dad, m/s:193)

Bapa angkat Robert T. Kiyosaki (Rich Dad) dan Robert sendiri percaya kepada konsep sedekah. Dan umat Islam secara umumnya sangat memahami konsep sedekah ini.

Dalam situasi ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan sejak akhir-akhir ini. Kadang-kadang, cara kita berbelanja tidak menggambarkan situasi kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang. Sebagai contoh, kita masih membelanjakan sebilangan besar wang kita untuk barang-barang yang bukan bersifat sebagai barang keperluan. “Kehendak” lebih besar daripada “keperluan” kita dan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kemurungan dan bebanan akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu. Walaupun tidak ramai yang berbelanja sedemikian, tetapi jika kita membuat statistik atau kaji selidik, kita akan dapat melihat jumlah yang agak besar. Cuba perhatikan bagaimana cara kita berbelanja, anda pasti akan dapat gambaran apa yang saya maksudkan.

Sebagai langkah permulaan, gunakan sebahagian hasil pendapatan daripada gaji atau side income yang kita ada untuk tujuan sedekah, ianya akan lebih menenangkan jiwa anda berbanding membelanjakan wang tersebut untuk tujuan memuaskan “kehendak” peribadi. Mulakan dengan amaun yang sederhana bermula dengan memberi kepada kedua ibu bapa terlebih dahulu.

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” — Al Baqarah:215

Bersedekah, tidaklah membuatkan harga minyak turun ketika pengumuman kadar harga minyak pada Rabu yang akan datang, tetapi bersedekah akan membuatkan kita memahami apa itu kehendak dan keperluan. Selain dapat membahagiakan dan meringankan beban orang yang lebih berkeperluan berbanding kita, sedekah ialah salah satu method untuk menjemput rezeki. Ketahuilah, rezeki itu bukan sahaja dalam bentuk duit atau harta benda. Kegembiraan, kesihatan, kebahagiaan dan apa sahaja benda baik yang datang dalam diri kita juga adalah rezeki.

Mungkin, anda pernah mendengar sebilangan orang-orang kaya berkata, “bersedekahlah, ianya akan membuatkan anda kaya”.

Ya, ianya bukanlah satu cerita dongeng, anda buat, anda ikhlas, anda konsisten dan anda akan buktikan sendiri kata-kata itu.

Leave a Reply

Scroll to top